SANDAKAN: "Kami boleh bergerak dan bekerja seperti biasa walaupun selepas diberikan suntikan vaksin COVID-19."

Itu perkongsian pengalaman golongan berisiko dan warga emas yang sudahpun melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Rata-rata mereka juga mengakui tidak merasa sakit selepas disuntik.

Malah, suntikan berkenaan tidak sedikitpun mengganggu rutin harian mereka.

Antaranya, pesara kakitangan sebuah syarikat penerbangan, Rahman Basri, yang sudahpun menjangkau usia 70 tahun.

"Anak saya nasihatkan supaya saya tidak takut mengambil vaksin ini.

"Dia kata vaksin ini untuk kebaikan kita semua jadi saya ikut cakap dia.

"Selepas pulang daripada mengambil suntikan, saya terus lakukan kerja seperti biasa. Tiada rasa pening langsung," katanya.

Selain itu Rahman menyarankan supaya orang ramai makan dahulu sebelum pergi ambil suntikan.

Sementara itu, seorang pekerja bahagian perpaipan yang sudah berusia 52 tahun berkata, tugasan hakikinya memang berat dan mencabar.

Tetapi, pekerjaannya tidak terganggu walaupun sedikit selepas menerima suntikan vaksin dan dia tetap bekerja seperti biasa.

"Semasa dok pertama tu ada juga rasa khuatir tapi Alhamdullillah, tiada rasa sakit selepas itu.

"Badan rasa sihat, aktif. Saya tertunggu juga kesannya tapi tiada apa-apa.

"Saya nasihatkan orang ramai untuk ambil vaksin ini kerana ia untuk kesihatan," katanya.

Dia juga merasa lebih selamat untuk keluar bekerja ataupun ketika membeli barangan di luar apabila sudah melengkapkan dua dos suntikan.

Baginya, dengan vaksin itu ia sedikit-sebanyak menjadi pelindung kepada dirinya.

"Selepas lengkap kedua-dua dos vaksin, saya rasa sangat gembira dan tidak risau sangat tentang virus ini," tambahnya.

Justeru, dia berharap orang ramai tidak takut atau ragu-ragu terhadap suntikan vaksin COVID-19 dan segera mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin.