KUALA NERUS: Meskipun tergolong dalam golongan Orang Kurang Upaya (OKU) namun itu tidak melunturkan semangat untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

Walaupun terpaksa bertongkat dan berkerusi roda namun mereka tetap gigih ke pusat pemberian vaksin kerana mereka sedar suntikan itu amat penting untuk melindungi diri, keluarga dan masyarakat sekeliling.

Menurut Badri Ahmad, 59 tahun, dia begitu teruja dan bersemangat untuk menerima suntikan vaksin untuk mereka terus kekal sihat dan juga sebagai tanda sokongan kepada pihak kerajaan dalam melawan wabak berkenaan.

Jelasnya bukan perkara yang mudah untuk melawan virus yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar berkenaan dan langkah pencegahan perlu dilakukan serta tiada alasan untuk menolaknya.

"Kita kena ambil kerana pandemik ini ada di mana sahaja. Jangan ada yang tertinggal nanti takut berjangkit kepada orang lain. Jadi marilah sama-sama ambil vaksin ini," katanya.

Badri yang diserang demam panas sejak kecil sehingga membataskan pergerakan kakinya enggan melayan dakyah negatif tentang vaksin berkenaan.

Katanya walaupun di momokkan menerusi media sosial dengan berita seumpama itu namun ia tidak melemahkan dan dia tidak terpengaruh dengan anasir tersebut.

"Cucuk vaksin ini seperti kita di sekolah dahulu. Macam-macam dia suntik, sama sahaja tidak ada apa-apa," katanya.

Badri menerima suntikan vaksin pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Gong Badak pada Khamis.

Katanya ahli keluarganya sentiasa menyokongnya untuk mengambil suntikan berkenaan.