JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor bakal menerima sebanyak 400,640 dos vaksin COVID-19 yang disumbangkan Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata vaksin berkenaan akan diterima Johor dalam masa terdekat.

Katanya, sumbangan vaksin diberikan Singapura adalah hasil persabahatan erat antara negeri ini dan republik itu.

Manakala sumbangan vaksin daripada UAE adalah hasil usaha mantan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang kini Menteri Kanan (Pertahanan).

"Pada masa terdekat ini, Singapura akan menyumbang 100,640 dos vaksin Pfizer kepada kerajaan Johor. Sebelum ini, pemerintah Singapura telah menyumbang sebanyak 20,000 dos vaksin Sinovac pada 29 Julai lalu.

"UAE pula akan menyumbangkan 300,000 dos vaksin Sinopharm," katanya ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, hari ini.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, untuk rekod, jumlah vaksin yang telah diterima oleh Johor di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula tarikh permulaan vaksinasi di negeri ini antara tempoh 1 Mac sehingga 5 September lalu, adalah sebanyak 4,713,800 dos.

"Vaksin yang diterima ini merangkumi vaksin Pfizer dengan jumlah sebanyak 2,460,510 dos, vaksin Sinovac sebanyak 1,842,540 dos dan AstraZeneca sebanyak 410,750 dos," katanya.