PASIR MAS: Jumlah pendaftaran rakyat Kelantan di MySejahtera adalah sekitar 14.4. peratus atau 177,125 sehingga 24 Mac lepas.

Kelantan negeri kedua selepas Sabah yang mencatatkan jumlah pendaftran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang rendah.

Untuk itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat antara yang memainkan peranan memberikan kesedaran kepada rakyat di negeri ini.

“Taklimat kita antara lain untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya untuk mematuhi arahan dan tanggungjawab serta pendaftaran untuk vaksinasi,” jelas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof.

Beliau berkata, kerajaan pada masa ini sedang giat melaksanakan program libat urus dan penerangan bersama kakitangan jabatan persekutuan dan negeri bagi memberikan maklumat berhubung proklamasi program berkenaan.

Di samping itu juga, sokongan dan bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan membantu dalam melancarkan lagi pendaftaran untuk vaksinasi.

Ianya termasuk bantuan logistik untuk golongan kurang upaya dan warga emas bagi mendapatkan suntikan vaksin di lokasi yang tersenarai.