KUALA LUMPUR:Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memaklumkan kerajaan menanggung RM77.35 bagi setiap rakyat Malaysia melalui pemberian vaksin COVID-19.

Pemberian secara percuma kepada 82.8 peratus populasi atau 26.5 juta individu itu membabitkan kos keseluruhan RM2.05 bilion.

Dalam satu kenyataan, Khairy yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) pada Selasa memaklumkan peruntukan itu kurang sedikit jika dibandingkan dengan negara Belgium.

Belgium memperuntukkan RM1.38 bilion bagi membeli vaksin COVID-19 untuk 16.75 juta rakyatnya.

Ini bermakna jumlah peruntukan oleh Belgium bagi setiap rakyatnya adalah sebanyak RM82.40.

Kenyataan itu menyusul bagi memberi fakta sebenar selepas tular di media sosial mengenai perbandingan harga bagi vaksin di Malaysia dan Belgium.