KUALA LUMPUR: Sasaran untuk capai kadar 90 peratus populasi dewasa yang lengkap vaksinasi semakin hampir.

Berbaki hanya 0.6 peratus lagi sebelum kelonggaran rentas negeri dibenarkan berdasarkan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Seramai 20.927 juta individu atau 89.4 peratus daripada populasi dewasa telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

Berdasarkan portal COVIDNOW, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, 94.7 peratus atau 22.16 juta populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi populasi keseluruhan, seramai 21.10 juta individu atau 64.6 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

Manakala, 74.6 peratus atau 24.38 juta daripada populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Selain itu, seramai 177,029 atau 5.6 peratus daripada populasi remaja telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Terdapat pertambahan 174,820 dos diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi tersebut.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah 45.37 juta dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.