KUALA LUMPUR : Setiap majikan dari sektor perkhidmatan, perhotelan pembinaan, pembuatan dan perladangan harus mendaftarkan senarai nama pekerja mereka kepada pejabat residen bahagian untuk tujuan pemberian vaksin COVID-19.

Perkara itu diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Sabtu.

"Bagi pendaftaran pekerja untuk program vaksinasi COVID-19, semua majikan termasuk dari sektor perkhidmatan, perhotelan, pembinaan, pembuatan dan perladangan harus mendaftarkan senarai nama pekerja mereka kepada pejabat residen bahagian berdekatan sebelum 12 April 2021 untuk tujuan vaksinasi COVID-19," kata JPBN Sarawak dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan COVID-19 di negeri berkenaan, terdapat penambahan tiga kluster baharu. Kluster-kluster itu adalah Kluster Jalan Gridbid di Miri, Kluster Kampung Baru Hilir di Samarahan dan Kluster Jalan Tanjung Kidurong di Bintulu.

"Kluster Jalan Gridbid, Miri adalah satu kluster komuniti yang telah dikesan di Jalan Datuk Gridbid, Lutong di Miri, Sarawak.

"Indeks kes adalah merupakan lelaki tempatan berumur 71 tahun dilaporkan telah mengalami demam dan batuk sejak 10 Mac 2021 di Ulu Teru.

"Kes ini juga dilaporkan telah datang melawat anaknya menghadiri majlis sosial (miring) yang telah diadakan pada 05 Mac 2021 di Kampung Pasir, Miri.

Manakala, bagi Kluster Kampung Baru Hilir yang dikesan di Samarahan pula melibatkan individu berusia 65 tahun. Jelas JPBN Sarawak, kes ini berkemungkinan mendapat jangkitan melalui penularan dalam komuniti.

"Indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-13,684 merupakan seorang lelaki tempatan yang telah dikesan melalui saringan individu bergejala pada 19 Mac 2021 di Klinik Kesihatan Sadong Jaya.

"Kes ini bekerja sebagai buruh binaan dan pernah mengunjungi Miri untuk bekerja pada 2 hingga 12 Mac 2021. Dia bekerja bersama lima rakan yang lain di kampung yang sama dan kesemuanya juga telah didapati positif COVID-19.

Kluster seterusnya adalah Kluster Jalan Kidurong di Bintulu.

"Kluster Jalan Tanjung Kidurong, Bintulu adalah satu kluster tempat kerja yang telah dikesan melibatkan di sebuah penempatan perumahan kerajaan di Jalan Tanjung Kidurong di bandar Bintulu.

"Indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-14,035 melibatkan lelaki berumur 50 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala pada 20 Mac 2021 di Hospital Bintulu.

"Kes ini (individu) bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah rendah di Sungai Tisang, Bintulu dan berkemungkinan telah mendapat jangkitan melalui jangkitan komuniti di daerah itu sendiri,"

Dedah JPBN, hasil siasatan dan pengesanan kes secara aktif yang dilakukan dalam kalangan ahli keluarga, kontak tempat kerja dan kasual kepada indeks kes mendapati 41 orang telah disahkan positif.

Di samping itu, Sarawak secara keseluruhannya merekodkan 267 kes baharu COVID-19 pada hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif di negeri itu meningkat kepada 15,443 kes.