JOHOR BAHRU: Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad menjadi individu pertama yang menerima suntikan vaksin COVID-19 di Johor.

Ia diikuti Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Dan Alam Sekitar Negeri R Vidyanathan, Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Aman Rabu dan Ketua Polis Negeri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurut Hasni, Johor menerima 70,200 dos vaksin pada fasa pertama.

Namun, jumlah itu kurang dari bilangan petugas barisan hadapan yang perlu mendapatkan suntikan.

"Jumlah dos vaksin sedia ada pada fasa pertama adalah 70,200 dan bilangan barisan hadapan yang akan diberi vaksin adalah sebanyak 35,100 orang, berdasarkan dua dos setiap seorang.

"Jumlah petugas barisan hadapan di negeri ini adalah sebanyak 41,034 orang. Bermakna, terdapat kekurangan sebanyak 5,934 orang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum memulakan suntikan vaksin COVID-19 di Dewan Muafakat Taman Adda di sini, hari ini.

Hasni turut memberi jaminan bahawa tidak ada sikap pilih kasih dalam mendapatkan suntikan vaksin.

Semua indvidu yang layak akan menerima suntikan dan ia akan dilakukan secara berfasa mengikut Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.