SANDAKAN: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, berharap Kerajaan Persekutuan memberikan kuota khas vaksin COVID-19 kepada pemain industri pelancongan di negeri ini.

Menterinya Datuk Jafry Arifin berkata, kuota harus diberikan kepada sektor itu kerana ia sektor terpenting di Sabah dan yang paling terkesan susulan penularan wabak.

Katanya, pemberian vaksin lebih awal kepada pemain-pemain industri akan memudahkan mereka bergerak pantas ke hadapan sebaik industri pelancongan dibuka semula.

Tegasnya, langkah itu perlu diambil demi keselamatan pengusaha pelancongan dan ia tidak mustahil dilakukan kerana beberapa sektor lain sudahpun mendapat kuota khas.

"Saya difahamkan, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah memvaksin pemain di bawah sektor MITI. Demikian juga Kementerian Pengangkutan.

"Jadi, saya menyarankan, saya minta kepada Kerajaan Persekutuan untuk memberikan juga kuota untuk pemain industri pelancongan, sebab mereka ini terjejas teruk.

"Dan kerajaan, ataupun pihak kita, perlu membuat satu langkah proaktif," katanya pada satu sidang media di sini.

Mengulas lanjut, Jafry berkata, pihaknya akan mencari formula supaya program imunisasi kepada pemain pelancongan dapat dilaksanakan di satu lokasi khas.

"Melalui program ini, kita mungkin tidak perlu berbaris bersama dengan masyarakat.

"Mungkin kita boleh lantik ejen atau pengelola majlis, untuk uruskan vaksinasi khas bagi pemain industri pelancongan," tambahnya.