KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru agar lebih ramai rakyat Malaysia tampil sebagai sukarelawan untuk membantu melancarkan proses pemberian vaksin. 

Golongan belia serta badan bukan kerajaan dialu-alukan untuk menyumbang tenaga dan masa bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Sehubungan itu, saya ingin menyeru rakyat Malaysia agar tampil ke hadapan sebagai sukarelawan untuk membantu melancarkan proses pemberian vaksin.

“Golongan belia serta badan bukan kerajaan dialu-alukan untuk menyumbang tenaga dan masa bagi menjayakan program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara.

“Penglibatan dan sokongan semua pihak amat diperlukan dalam pendekatan 'whole of government' dan 'whole of society' untuk kita mencapai 80 peratus yang disasarkan untuk membentuk imuniti kelompok,” katanya menerusi ucapan khas berhubung perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada Sabtu.

Pada masa sama, beliau mengingatkan rakyat Malaysia yang sudah menerima suntikan vaksin, jangan pula ambil mudah terhadap pemakaian pelitup muka dan langkah-langkah pencegahan jangkitan COVID-19.

Dalam ucapan sama, beliau ada menggariskan beberapa usaha berterusan kerajaan bagi mempercepatkan lagi pelaksanaan PICK.

Ini termasuk penglibatan lebih 1,000 pusat dan klinik perubatan swasta, penggunaan unit-unit vaksinasi bergerak ke kampung dan kawasan pedalaman serta arahan kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk memudahkan proses pendaftaran vaksin.