KUALA LUMPUR: Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) akan memulakan operasinya hari ini.

Buat permulaan, sejumlah 370 pekerja industri akan diberikan suntikan vaksin COVID-19.

PPVIN PICC diuruskan oleh International SOS (Malaysia) Sdn Bhd.

Ia adalah sebahgian daripada inisiatif Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

Pusat ini mempunyai kapasiti untuk memberi suntikan vaksin kepada 1,500 pekerja industri sehari dalam persekitaran yang lebih teratur dan selesa.

Menurut Ketua Operasi Penganjur Rawatan Kesihatan International SOS (Malaysia), Dr Adrian Seng Fook Wai, PPVIN akan melaksanakan proses vaksinasi yang melibatkan pekerja industri dari syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Beliau berkata vaksin Sinovac akan diberikan kepada penerima di PPVIN.

PPVIN yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 9 malam itu turut menyediakan pasukan perubatan serta ambulans.

Di bawah program PIKAS, kerajaan akan menyediakan vaksin percuma.

Namun kos pentadbiran vaksin yang merangkumi penyediaan ppvin akan ditanggung oleh majikan, dan majikan dilarang memindahkan kos pentadbiran itu kepada pekerja menerusi potongan gaji mereka.