KEMAMAN: Peningkatan kes COVID-19 dengan pelbagai varian baharu ketika ini mencetuskan kebimbangan orang ramai termasuk golongan pesakit kronik.

Ini mendorong seorang warga emas yang menghidap penyakit kanser hati tahap dua nekad untuk melengkapkan dirinya dengan suntikan imunisasi bagi perlindungan dirinya.

Mohd Ibrahim Osman, 70, dari Taman Fikri, Bandar Chukai, Kemaman dengan sukarela mahu menerima suntikan berkenaan.

Bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu berkata, dia juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak keluar rumah dan ke tempat awam bagi mengelak dijangkiti.

Warga emas yang ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sivik Kampung Tengah, Bandar Kerteh merasa lega selepas dapat melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Sementara itu anaknya, Norfiza Mohd Ibrahim berkata bapanya kini sedang menjalani proses kimoterapi bagi penyakit kansernya dan telah merujuk kepada pihak doktor untuk mendapatkan penjelasan berkenaan risiko pengambilan vaksin bagi pesakit kronik seperti bapanya.