KUCHING: Peningkatan kes jangkitan COVID-19 dan varian membimbangkan iaitu varian Delta menyumbang kepada keputusan Sarawak untuk memvaksin golongan remaja dalam waktu terdekat.

Sambil menyambut baik keputusan itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam UNIMAS, Prof Madya Dr Helmy Hazmi berpandangan, situasi itu mendesak kerajaan negeri untuk mencapai imuniti kelompok yang lebih luas secepat mungkin.

"Kita tidak tahu lagi pada masa hadapan varian jenis apakah yang boleh muncul yang boleh menggugat kesihatan golongan remaja ini.

"Kita perlu melihat kelebihan pemberian vaksin ini adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan mereka yang langsung tidak diberikan vaksin ataupun belum lagi melengkapkan vaksin.

"Jadi kita tahu golongan remaja ini banyak bergerak dan usaha ini penting untuk mengelakkan mereka daripada mendapat penyakit tahap tiga, empat dan lima" katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menjelaskan JPBN Sarawak akan melakukan program imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) melibatkan golongan remaja.

BACA: Sarawak mula vaksin remaja 15 hingga 17 tahun minggu depan

BACA: Sarawak negeri pertama berjaya memvaksin lebih 80 peratus populasi dewasa

Bagi merealisasikan usaha memvaksin golongan remaja, Dr Helmy juga menggesa kerajaan negeri untuk bersedia dari segi pendaftaran.

Jelasnya, tumpuan perlu diberikan kepada remaja di pedalaman selain mencadangkan pendaftaran dilakukan di sekolah mengikut senarai nama.

"Mungkin kalau yang berumur 16, 17 tahun itu memang mereka dilakukan menerusi program kesihatan sekolah.

"Tetapi masalah adalah program kesihatan sekolah ini tidak meliputi sekolah-sekolah swasta.

"Jadi kerajaan negeri harus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan tiada sekolah tercicir daripada pemberian vaksin sekiranya dilakukan di sekolah kelak," ujarnya.


COVID-19 | Remaja 15-17 tahun di Sarawak divaksin minggu depan