KUALA LUMPUR: Penggunaan vaksin "CoronaVac Suspension for Injection COVID-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated" keluaran Sinovac Life Sciences Co Ltd, China dan Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd, Malaysia kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, diluluskan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kelulusan bersyarat itu dipersetujui dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-370 yang bersidang hari ini.

Beliau berkata ia merupakan vaksin COVID-19 kedua yang diluluskan untuk penggunaan bagi golongan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dan sebelum ini kelulusan serupa diberikan kepada vaksin Comirnaty pada 6 Jan lepas.

"CoronaVac sebelum ini telah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata mesyuarat itu turut bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat kepada produk Paxloid (PF-07321332 150mg Film-Coated Tablets and Ritonavir 100mg Film-Coated Tablets) untuk rawatan COVID-19 kepada golongan dewasa berumur 18 tahun dan ke atas yang tidak memerlukan terapi oksigen serta berisiko tinggi untuk mendapat gejala teruk.

Bagaimanapun, beliau berkata produk Paxloid keluaran Pfizer Manufacturing Deutschland GmbH, Jerman dan Pfizer Ireland Pharmaceuticals, Ireland itu tidak bertujuan untuk digunakan sebagai pengganti bagi vaksinasi COVID-19 dan tindakan kesihatan awam terutamanya pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Kementerian Kesihatan (KKM) ingin memaklumkan kelulusan pendaftaran bersyarat ini masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin dan antivirus tersebut dipantau serta dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi vaksin tersebut kekal positif," katanya.

Beliau berkata KKM terus komited untuk mempertingkatkan akses rakyat kepada ubat-ubatan bagi tujuan rawatan atau pencegahan penularan COVID-19 di negara ini dengan memastikan ia dinilai dengan sewajarnya berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

-- BERNAMA