KUALA LUMPUR: Kadar vaksinasi COVID-19 penduduk dewasa negara ini kini menghampiri 91%.

Setakat ini, seramai 21,220,121 individu atau 90.6% daripada populasi dewasa telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Berdasarkan portal COVIDNOW, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, 94.9% atau 22.21 juta populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Lembah Klang mencatat jumlah tertinggi diberikan dos kepada golongan dewasa iaitu 112.3%, diikuti Labuan (99.2%), Negeri Sembilan (99.2%), Perlis (94.3%) dan Pulau Pinang (91.2%)

Paling rendah adalah di Sabah (66%) dan Kelantan (74.4%).

Sementara itu, negeri yang mencapai kadar vaksinasi 80% ke atas adalah Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Johor, Melaka dan Sarawak.

Bagi populasi keseluruhan, seramai 21,437,380 individu atau 65.6% telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

Pada masa sama, 75.2% atau 24.56 juta daripada populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Selain itu, seramai 370,995 atau 11.8% daripada populasi remaja telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Terdapat pertambahan 129,941 dos diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi tersebut.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah 46.04 juta dos.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lalu bagi memberikan vaksinasi kepada rakyat Malaysia untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.