IPOH: Sebuah van Kementerian Kesihatan (KKM) yang membawa pelatih Institut Latihan KKM (ILKKM) Tanjung Rambutan terbabit dalam kemalangan di Jalan Sultan Iskandar dan Jalan Sultan Yussof, di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata kejadian yang berlaku kira-kira 7.25 pagi itu mengakibatkan sembilan orang termasuk pemandu cedera.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kenderaan yang membawa pelatih itu dalam arah perjalanan dari Tanjung Rambutan ke Klinik Kesihatan Buntong untuk menjalani latihan praktikal.
“Dalam kenderaan van tersebut terdapat 11 individu dan kemalangan turut membabitkan kenderaan lain. Bagaimanapun, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Terdahulu satu video berdurasi lapan saat memaparkan beberapa pelatih berpakaian seragam KKM berada berdekatan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan, selain terdapat sebuah ambulans yang tiba bagi memberi rawatan lanjut.
Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai keadaan mangsa masih belum diperoleh.
-- BERNAMA