GUA MUSANG: Tiga pelajar cedera parah selepas van sekolah dinaiki bersama 12 penumpang lain terbalik dan terseret sejauh 19 meter dalam kemalangan di simpang tiga hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di sini pada Isnin.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu sebuah kereta jenis Kia Spectra yang bertindak secara cuai keluar dari simpang untuk membelok ke kanan sebelum dirempuh oleh sebuah treler muatan balak yang datang dari arah kanan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pelanggaran tersebut menyebabkan treler tidak dapat dikawal dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh tiga buah kenderaan iaitu sebuah kereta Perodua Myvi, sebuah van jenis Nissan Urban dan kereta Honda Civic.

"Kesan rempuhan tersebut, van berkenaan diseret sejauh 19 meter sebelum terbalik bersama-sama seorang pemandu dan 15 penumpang pelajar sekolah berumur 7 hingga 17 tahun.

"Tiga daripada mereka mengalami kecederaan parah, seorang kanak-kanak perempuan, 7, mengalami patah tulang selangka sebelah kanan, kanak-kanak perempuan, 8, alami kecederaan darah beku di dahi dan kanak-kanak perempuan, 10, terkehel tulang paha kanan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, 12 lagi pelajar hanya cedera ringan.

Ujarnya, semua mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan lanjut.

Choon Foo memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.

"Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya. -Sinar Harian