PUTRAJAYA: Masyarakat dinasihat untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan, memandangkan varian baharu COVID-19 telah menular ke beberapa negeri seperti Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata setakat ini, terdapat tiga varian yang membimbangkan (VOC) di negara ini iaitu 62 kes varian Afrika Selatan (B.1.351), lapan kes bagi varian United Kingdom (B.117), dan dua kes varian India (B.1.617.1).

Daripada jumlah kes keseluruhan varian Afrika Selatan itu, 14 kes dikesan hari ini iaitu tujuh kes adalah di Kluster Kampung Domis di Kelantan; tiga kes kontak rapat kepada kes aktif di Selangor; satu kes menjangkiti petugas kesihatan di Kelantan; dua kes di Kedah dan satu kes dikesan di Negeri Sembilan iaitu kluster Pengkalan Hulu.

"Kebimbangan kita adalah varian ini telah merebak dan menular dengan cepat, di mana ia akan berakhir dengan kematian, kita juga dapati ia jangkiti golongan muda dengan gejala yang teruk.

"Kementerian Kesihatan (KKM) akan buat ujian rawak untuk kenal pasti varian ini telah merebak ke negeri mana lagi," katanya pada sidang media bersama Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, hari ini.

BACA: COVID-19: 3,973 kes baharu, kes aktif hampiri angka 40,000

Mengenai varian India yang dikategori sebagai VOC oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Noor Hisham berkata, seorang lelaki warganegara India meninggal dunia pada 21 April lepas, kerana dijangkiti COVID-19 daripada varian itu.

Beliau berkata, lelaki berkenaan dikesan positif COVID-19 dengan varian itu pada 7 April dan dikuarantin oleh KKM.

"Beliau bergejala dan dua kali swab dilakukan dan hasilnya negatif, ini menunjukkan varian ini sangat merbahaya," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan yang 80 peratus daripada jangkitan COVID-19, bukannya daripada kluster tetapi adalah kes sporadik.

"Ini menunjukkan yang virus telah ada dalam komuniti, kita jangka kes akan meningkat," katanya sambil menambah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dapat mengekang penularan COVID-19.

-- BERNAMA