Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berdoa semoga tidak ada lagi mana-mana individu akan menjadi mangsa kedurjanaan politik seperti yang dilaluinya sebelum ini.

Merujuk pada kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang menyatakan tiada sebarang pertuduhan akan dibuat pada mana-mana pihak berhubung video intim, Azmin menzahirkan rasa syukur kerana kebenaran akhirnya berpihak padanya.

Menurut Timbalan Presiden PKR itu, sejak dari awal lagi beliau berpendirian bahawa penyebaran video seks yang mengaitkan beliau merupakan komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

"Meskipun mereka yang berniat jahat boleh merancang dan bersekongkol, saya tidak sama sekali ragu bahawa keadilan akan menyerlah.

"Justeru itu, saya bersyukur kepada Allah SWT atas kemenangan kebenaran ke atas kejahatan dan saya berdoa agar tidak ada sesiapa lagi yang akan menjadi mangsa kepada kedurjanaan politik seperti ini," kata Azmin dalam kenyataan media yang diedarkan pada Khamis.

Sehubungan itu, Azmin merakamkan ucapan terima kasih yang setulusnya kepada isterinya, Datin Seri Shamsidar Taharin serta anak-anaknya yang meletakkan kepercayaan dan dukungan yang tidak berbelah bahagi dan berterusan kepada beliau.

Tidak ketinggalan, Azmin merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan dan rakyat atas sokongan yang teguh dan padu kepadanya sepanjang melalui dugaan itu.

Dalam kenyataan yang sama, Azmin menyeru semua pihak agar bersama-sama menghentikan politik fitnah, serangan peribadi dan caci-maki.

"Sebaliknya, mari kita jayakan wacana yang membina dan idea bernas tentang Kemakmuran Bersama, kesejahteraan rakyat dan pembinaan negara," kata Azmin lagi.

Sebelum itu, Azmin dalam kenyataan eksklusif kepada Astro AWANI berkata, keputusan Jabatan Peguam Negara tidak melakukan sebarang pertuduhan membuktikan kes video seks yang sarat dengan kontroversi itu hanyalah mainan politik fitnah pihak tertentu.

“Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT dan keputusan sebulat suara oleh Timbalan Pendakwa Raya ini membuktikan saya dibersihkan dari segala tohmahan, noktah segala fitnah,” katanya.

BACA: Video intim: "Alhamdulillah, ini noktah segala fitnah dan tohmahan" - Azmin

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara berkata, tidak akan membuat apa-apa pertuduhan pada mana-mana pihak berhubung video intim yang dipercayai yang pernah dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet seperti yang tular beberapa bulan lalu.

Menurut Tommy, tiada pertuduhan yang boleh dibuat berhubung dengan kes video seks itu.

BACA: Video intim: Tiada individu akan didakwa - Peguam Negara


BACA: Video Intim: "Saya tidak tahu apa-apa" - KPN

Pada Jun lalu, negara digemparkan dengan penyebaran sedutan video sepasang lelaki mengadakan hubungan intim.

Haziq Abdullah Abdul Aziz yang ketika itu merupakan Setiausaha Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin membuat pengakuan secara terbuka yang dia merupakan seorang daripada pelaku dalam video itu.

Dia juga mendakwa, pasangannya dalam video intim itu ialah seorang menteri kanan yang juga pemimpin tertinggi parti politik.