MALAYSIA
Video lucah: MAIS tarik tauliah mengajar ustaz ditahan polis sejak 2022

Salehuddin berkata individu berkenaan juga pernah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada September 2024 kerana mengajar agama Islam tanpa tauliah. - Gambar fail
SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menarik semula tauliah mengajar agama bagi seorang ustaz yang baru-baru ini ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kes jenayah, sejak tahun 2022.
Ringkasan AI
- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menarik semula tauliah mengajar agama terhadap seorang ustaz yang disyaki terlibat dalam kes jenayah dan pernah ditahan kerana mengajar tanpa tauliah, dengan kes masih dalam perbicaraan di Mahkamah Syariah.
- Sejak 2022, MAIS telah membatalkan tauliah terhadap 35 individu atas pelbagai pelanggaran termasuk ajaran bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, perlakuan jenayah dan penglibatan politik, serta menggantung tauliah beberapa individu sementara siasatan dijalankan.
- MAIS mengingatkan masjid dan surau agar hanya menjemput penceramah bertauliah, kerana kegagalan memantau latar belakang penceramah boleh menjejaskan imej Islam dan membuka ruang kepada penyelewengan ajaran; semua dasar MAIS telah diperkenankan oleh Sultan Selangor.
"Dalam kes itu, seorang individu yang juga merupakan seorang daripada pentadbir surau turut disiasat kerana disyaki membenarkan penceramah tersebut mengajar tanpa tauliah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim dilaporkan berkata pihaknya sedang menyiasat kes melibatkan penyebaran video lucah oleh seorang penceramah bebas.
Mohd Iqbal berkata siasatan dibuat susulan laporan polis yang diterima daripada seorang wanita, iaitu isteri kedua kepada lelaki berkenaan, pada 16 Jun lalu, mendakwa penceramah itu menyebarkan video hubungan intim dirinya bersama madunya serta beberapa wanita lain.
Sementara itu, Salehuddin berkata, sejak 2022, MAIS telah menarik semula tauliah mengajar agama terhadap 35 individu atas pelbagai pelanggaran syarat, termasuk mengajar ajaran yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, terlibat dalam perlakuan jenayah dan memegang jawatan politik.
"Beberapa individu juga kini digantung tauliahnya sementara siasatan dibuat menurut undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.
Beliau turut mengingatkan pihak masjid dan surau di Selangor serta umat Islam agar hanya menjemput penceramah yang memiliki tauliah sah yang dikeluarkan oleh MAIS.
Katanya, JAIS sentiasa memantau perkara itu dan tindakan undang-undang serta tatatertib sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.
MAIS turut melahirkan rasa kesal terhadap sikap segelintir individu yang masih meneruskan aktiviti mengajar agama di Selangor tanpa tauliah sah atau selepas tempoh tauliah tamat.
"Malah, terdapat juga penceramah yang memiliki tauliah tetapi melanggar syarat serta etika yang ditetapkan. Situasi ini berlaku antara lain disebabkan oleh kegagalan sebahagian pentadbir masjid dan surau memantau latar belakang penceramah yang dijemput.
"Sikap sedemikian boleh mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat serta menjejaskan imej Islam dan institusi agama secara keseluruhan. Jika dibiarkan, ia boleh membuka ruang kepada penyelewengan dalam pengajaran agama Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.
Beliau menegaskan bahawa semua dasar dan ketetapan yang dibuat oleh MAIS telah melalui pertimbangan teliti dan telah disembah maklum serta diperkenankan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, selaku Ketua Agama Islam negeri.
"Segala dasar dan ketetapan ini demi menjaga kemaslahatan dan kepentingan umat Islam di Selangor," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami