IPOH: Polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang menikam seorang peniaga mi di sebuah restoran di Taman Cemerlang Rapat, di sini, seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, mangsa, seorang lelaki yang berumur 44 tahun, cedera di bahagian perut akibat ditikam menggunakan pisau oleh seorang pelanggan lelaki yang tidak dikenali.

Menurutnya, mangsa kini berada dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Terdahulu, kata Yahaya, pada Sabtu, pihaknya terkesan beberapa video dan gambar yang tular melalui media sosial Facebook, memaparkan satu kejadian mendatangkan kecederaan dengan menggunakan pisau, melibatkan mangsa, seorang peniaga makanan di sebuah restoran, yang telah menarik perhatian umum.

“Semakan pihak polis mendapati kejadian tersebut berlaku lebih kurang jam 6 pagi semalam, di sebuah restoran di Taman Cemerlang Rapat, di sini,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.

Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan pisau.

“Kini pihak polis sedang giat mengesan suspek yang masih bebas untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Sehubungan itu, pihak polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-254 2222.