IPOH: Polis telah menahan bapa kepada kanak-kanak yang terlibat dalam satu video tular di media sosial yang memaparkan tiga kanak-kanak mengeluarkan kepala daripada sebuah kereta.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada jam 9.30 malam tadi di Sunway City dekat sini.

Menurutnya, lelaki itu ditahan reman selama dua hari mulai hari ini sehingga esok (Sabtu).

“Semakan mendapati dia mempunyai 32 rekod kesalahan trafik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, kanak-kanak yang terbabit pula berumur 4, 7 dan 8 tahun.

BACA: Polis kesan pihak terlibat video tular, papar aksi berbahaya kanak-kanak

Papar Aksi Bahaya | Polis kesan pihak terlibat video tular

Pada Khamis, Mior Faridalathrash berkata, polis sedang mengesan pihak yang terlibat dalam satu video tular di media sosial yang memaparkan tiga kanak-kanak mengeluarkan kepala daripada sebuah kereta yang sedang bergerak.

Menurutnya, kejadian disyaki berlaku di Jalan Tambun dekat sini namun tarikh dan masa sebenar kejadian masih belum dikenal pasti.