Skip to main content

Malaysia

Wajah Malaysia: Melayu, Cina, India… semua 'kecek Kelate'

KOTA BHARU - Kalau terdengar bunyi ‘demo’, ‘kawe’, ‘gapo’ atau ‘nok gi mano’ di celah-celah perbualan, jangan cepat menyangka semuanya datang daripada orang Melayu.  Di Kelantan, dialek Kelate sudah begitu sebati dengan kehidupan masyarakat sehingga kaum Cina dan India juga mampu ‘kecek Kelate’ dengan bersahaja, malah ada yang kedengaran lebih pekat daripada penutur Melayu sendiri.  Bukan kerana mahu menunjuk pandai berbahasa, tetapi bagi mereka dialek Kelate sudah menjadi bahasa harian ketika bergurau, ber
Loghat Kelantan merapatkan hubungan diantara R. Hareetaran (kanan) bersama Nik Mohd Shahrizal dan Abe Sin (kiri) dalam kehidupan harian mereka. - Foto Sinar Harian
Advertisement

KOTA BHARU: Kalau terdengar bunyi 'demo', 'kawe', 'gapo'  atau 'nok gi mano' di celah-celah perbualan, jangan cepat menyangka semuanya datang daripada orang Melayu.

Di Kelantan, loghat Kelate sudah begitu sebati dengan kehidupan masyarakat sehingga kaum Cina dan India juga mampu 'kecek Kelate' dengan begitu bersahaja, malah ada yang kedengaran lebih pekat daripada penutur Melayu sendiri.

Bukan kerana mahu menunjuk pandai berbahasa tetapi kerana bagi mereka, loghat Kelate sudah menjadi bahasa harian yang digunakan ketika bergurau, berbual bersama keluarga malah sewaktu bekerja.

Lebih menarik, ada yang menggunakan dialek itu di rumah bersama pasangan dan anak-anak, manakala di tempat kerja pula ia menjadi bahasa penghubung ketika berurusan dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

Bagi Penolong Pengarah (Penerangan) Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN), R Hareetaran, 36, walaupun berasal daripada keluarga India yang menggunakan bahasa Tamil namun dialek itu digunakan sebagai bahasa pertuturan harian.

"Saya memang kecek Kelate. Di rumah pun kebanyakan masa saya kecek Kelate dengan adik-beradik.

"Mak ayah saya orang India, tetapi bahasa Kelate memang sudah sebati dalam keluarga kami. Boleh kata memang bahasa Kelate yang kami guna setiap hari," katanya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu membesar di Berek 12, di sini  dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail 2 serta Sekolah Menengah Kebangsaan Jenis (SMKJ) Cina, Chung Cheng sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Antarabangsa UNITAR dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Hareetaran yang mempunyai seorang anak berusia empat tahun berkata, isterinya, Shaarada Bairavi, 36, merupakan doktor pergigian dengan mengusahakan klinik sendiri juga adalah orang Kelantan.

Bagi Pegawai Tugas-Tugas Khas Hubungan Antara Kaum, Lim Guan Seng, 60, atau lebih dikenali sebagai Abe Sin, loghat Kelate sudah sebati sehingga tidak lagi memikirkan soal kaum ketika menggunakannya.

"Bukan sahaja berkomunikasi dengan masyarakat Melayu, malah ketika bercakap dengan masyarakat Cina sendiri, saya turut menggunakan loghat Kelate.

"Kecek samo Cino pun lorat Kelate. Dengan isteri dan anak-anak pun kita kecek Kelate.

"Dah biasa. Bila hidup di Kelantan, kita guna bahasa Kelantan. Tak kira dengan siapa kita bercakap," ujarnya yang menetap di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab.

Image
Wajah Malaysia

Guan Seng mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Yuk Chai sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra, Kuala Krai.

Katanya, pengalaman sebagai penghulu sebelum ini turut memberi ruang untuknya bergaul lebih dekat dengan masyarakat dan menggunakan dialek tempatan dalam pelbagai urusan.

Sementara itu, usahawan, Nik Mohd Shahrizal Sudin, 41, melihat kemampuan masyarakat bukan Melayu menguasai loghat Kelate sebagai sesuatu yang sudah biasa dalam kehidupan di negeri itu.

"Di Kelantan, kita kecek Kelate. Bila cakap bahasa Kelate, rasa lebih dekat dengan orang.

"Kadang-kadang bila jumpa orang India atau Cina, mereka kecek Kelate lagi pekat daripada kita," katanya.
 

Must Watch Video

Advertisement