Peletakan jawatan empat wakil rakyat DAP Melaka merupakan satu pengajaran kepada semua parti politik tentang politik, kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

"Ia berlaku selepas Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) berkata seorang daripada menteri akan meletak jawatan," katanya ketika diminta mengulas mengenai laporan empat wakil rakyat DAP yang keluar parti pada Ahad.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan ketika ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Kementerian Belia dan Sukan dan Johor Petroleum Development Corporation Bhd di sini pada Isnin berkata beliau tidak pasti punca keempat-empat wakil rakyat DAP itu meninggalkan parti.

"Itu hal mereka tetapi ia satu pengajaran kepada semua parti politik. Anda tidak boleh mendapat kepastian. Anda perlu memastikan parti beroperasi dengan baik dan anggota berpuas hati dengan dasar di dalam parti," katanya.

Tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Melaka, Lim Jak Wong (Bachang), Chin Choong Seong (Kesidang) dan Goh Leong San (Duyong) serta Anggota Parlimen DAP Kota Melaka, Sim Tong Him keluar daripada parti semalam.

Mengulas mengenai dakwaan Mohamed Azmin, Khairy berkata sejak dari mula semua anggota Kabinet tidak percaya dengan dakwaan itu.

"Kerana dalam Kabinet, kami semua adalah rakan, kami boleh bertanya sesama sendiri. Kami saling bertanya dan mendapati ia tidak berasas. Saya tidak tahu apa maklumat yang dia (Mohamed Azmin) ada tetapi yang pasti ianya tidak berasas," katanya.

Jumaat lepas Mohamed Azmin memuat naik status berbentuk pertanyaan menerusi akaun Twitternya mengenai seorang menteri meletak jawatan.

Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan Menteri Besar Selangor itu selain meminta Mohamed Azmin mengemukakan nama menteri yang dimaksudkan.

-- BERNAMA