KUALA LUMPUR: Wakil rakyat di setiap kawasan serta badan bukan kerajaan (NGO) harus dijadikan rakan strategik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menghebahkan maklumat dan buat pendaftaran dalam usaha negara mencapai imuniti berkelompok melalui suntikan vaksin COVID-19.

Jelas Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, ini kerana, mereka dilihat lebih dekat dengan masyarakat tempatan dan memahami selok belok dan rencam di sesebuah kawasan terutama di kawasan pedalaman.

Tambah beliau, bagi kawasan pedalaman, berkemungkinan besar penduduknya tidak mempunyai akses kepada pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera dan kaedah lain perli diberi perhatian.

"Dengan keadaan pandemik ketika ini, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), Ahli Parlimen malah NGO kesihatan mesti turun padang dan saya seru KKM untuk menggunakan mereka ini bagi sampaikan maklumat.

"Pihak-pihak ini lebih rapat dan mudah bersama penduduk terutama di kawasan pedalaman serta mereka mempunyai laras bahasa dengan masyarakat,"katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Khamis.

Jelasnya, bebanan yang ditanggung KKM pada ketika ini harus digalas oleh pihak ini terutama ketika fasa kedua dan ketiga yang akan bermula kelak.

"Kita tak boleh bergantung kepada MySejahtera dan perlu ada dua ke tiga kaedah untuk sampaikan maklumat dan logistik juga bagaimana mereka boleh membuat pendaftaran,"katanya.

Dalam masa yang sama, pihak ini juga jelasnya boleh memainkan peranan dalam memberi keyakinan kepada penduduk mengenai keselamatan dan keberkesanan vaksin.