KOTA TINGGI : Pusat bandar Kota Tinggi tetap menjadi tumpuan meskipun keseluruhan kedai di kawasan itu tidak beroperasi pada Isnin susulan banjir di kawasan tersebut.

Sejak dari tengah hari, ramai penduduk berhampiran datang ke kawasan itu untuk melihat keadaan banjir dari dekat.

Setakat jam 7 malam, boleh dikatakan semua kedai di pusat bandar ditutup malah hanya ada beberapa premis sahaja yang bercahaya.

Difahamkan, bekalan elektrik telah diputuskan bagi menjamin keselamatan dan mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Bukan di pusat bandar sahaja, beberapa lokasi lain sekitar Kota Tinggi yang dinaiki air seperti Taman Kota Jaya turut menjadi tumpuan dengan ramai orang menuju ke sana.

Penghuni rumah di taman perumahan itu majoritinya dilihat berada di luar rumah manakala kawasan perumahan pula sibuk dengan kenderaan keluar dan masuk.

Bahkan, ada juga kanak-kanak, dengan diawasi ibu bapa, dilihat seronok mandi-manda dengan air banjir di hadapan rumah mereka.

Kota Tinggi merupakan lokasi paling teruk terjejas di Johor dengan setakat jam 6 petang, seramai 4,651 mangsa terjejas dan ditempatkan di 26 pusat penempatan sementara (PPS).