KUALA LUMPUR: Semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikendalikan oleh pengamal perubatan swasta (PPS) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan di bawah ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) akan melaksanakan vaksinasi secara ‘walk-in’ kepada semua individu berumur 18 tahun ke atas di seluruh negara, berkuat kuasa 29 Januari (esok).

ProtectHealth dalam kenyataan berkata, perkhidmatan tersebut merupakan satu inisiatif selain daripada janji temu vaksinasi yang diberikan melalui MySejahtera bagi memperluaskan liputan dan mempercepatkan vaksinasi dos penggalak.

“Bagi memudahkan proses vaksinasi, individu yang ingin hadir secara ‘walk-in’ perlu memastikan sijil vaksinasi digital mereka di aplikasi MySejahtera adalah berstatus lengkap.

“Penerima vaksin dengan janji temu MySejahtera akan diberi keutamaan dan vaksinasi secara ‘walk-in’ akan diberikan berdasarkan siapa cepat dia dapat.

“Sekiranya PPV telah mencapai had kapasiti harian pemberian dos penggalak, sesetengah individu akan diminta untuk datang pada hari berikutnya,” kata ProtectHealth dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, ProtectHealth memaklumkan senarai PPV yang terlibat boleh didapati daripada laman web di www.protecthealth.com.my, dan ia akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia, yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu menambah, penerima vaksin perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan diminta untuk tidak berkumpul di PPV bagi mengelakkan kesesakkan.

"Walau bagaimanapun, orang ramai yang ingin mendapatkan vaksin di klinik swasta pilihan mereka atau berdekatan yang berdaftar di bawah ProtectHealth dinasihatkan untuk menghubungi klinik tersebut terlebih dahulu sebelum 'walk-in' untuk mendapatkan suntikan.

"Ini bagi mengelakkan kesesakan kerana kebanyakan klinik swasta hanya boleh menampung kapasiti yang kecil dalam satu-satu masa," tambah kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Anas Alam Faizli turut menasihati agar penerima dos penggalak mengamalkan langkah-langkah penjagaan diri sepanjang mendapatkan suntikan imunisasi tersebut.

“Selain mengamalkan pemakaian pelitup muka dan #TRIIS, ProtectHealth menyeru agar semua yang layak, mendapatkan dos penggalak bagi melindungi diri dan orang di sekeliling kita untuk pelindungan yang lebih berkesan," ujarnya.

Sehingga 27 Januari, sebanyak 11.5 juta dos penggalak telah diberikan dan daripada jumlah tersebut, 75.7 peratus atau 8.7 juta dos disumbangkan oleh PPS dan NGO kesihatan di bawah ProtectHealth.