KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengakui beliau keliru dengan pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Menurutnya, ia berikutan ada beberapa fokus utama tidak disentuh secara spesifik oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Walaupun (ada beberapa perkara telah) disentuh dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) tapi berharap beliau akan hurai balik (dalam Belanjawan 2024) tetapi ia tidak berlaku.

“Sebagai contoh mengenai pelaburan yang digembar-gemburkan sebelum ini mengenai Tesla dan sebagainya, sebab kita hendak tahu adakah ia benar-benar turun ke bawah iaitu kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Jumaat.

Tambah Wan Ahmad Fayhsal, beliau mengharapkan kekeliruan yang dibangkitkan itu akan terjawab pada sesi perbahasan yang akan berlangsung bermula Isnin ini.

“Kita menunggu sehingga hari perbahasan untuk mendengar penerangan yang akan dibuat oleh menteri berkaitan nanti,” katanya.

Belanjawan kali ini merupakan yang kedua dibentangkan beliau di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Kerajaan memperuntukkan RM393.8 bilion bagi Belanjawan 2024.

Jumlah itu adalah yang tertinggi pernah dibentangkan merangkumi RM303.8 bilion untuk belanja mengurus, RM90 bilion bagi pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.