KUALA LUMPUR: Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad mendahului senarai pertukaran pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dilantik sebagai Komisioner Polis (CP) Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman yang baharu berkuat kuasa 22 Mei depan.

Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan hari ini memaklumkan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Fisol Salleh pula akan menggantikan Wan Hassan sebagai Ketua Polis Kedah yang baharu dengan memangku pangkat CP.

Menurutnya Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Mohd Roze Shaari pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia), Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Beliau berkata Ketua Cawangan Khas Kuala Lumpur Datuk Abu Samah Mohd Noor akan menggantikan Mohd Roze sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah dengan memangku pangkat DCP.

"Ketua Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman SAC Fazlisyam Abd Majid pula dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas Kuala Lumpur yang baharu," katanya.



POLIS-PERTUKARAN 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR



Selain itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Azman Ayob dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman.

"Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman SAC Victor Sanjos pula akan menggantikan Azman sebagai Timbalan Ketua Polis Kelantan dengan memangku pangkat DCP," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan Judi/Maksiat/Gangsterism Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Mohamad Noor Yusof Ali dilantik sebagai Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Perancangan Strategik) Johor ACP Awang Din Awang Gani dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Sarawak dengan memangku pangkat SAC.

Kesemua mereka adalah antara sembilan daripada 18 pegawai kanan PDRM yang terlibat dalam pertukaran berkuat kuasa 22 Mei ini.

-- BERNAMA