KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan tiba di lobi Kompleks Mahkamah di sini pada Rabu bagi menghadapi lebih 10 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) dipercayai berjumlah RM6 juta.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor bakal menghadapi pertuduhan buat kali kedua tahun ini yang mana kes terbaharu ini akan didengar di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Bekas Ketua Penerangan Bersatu itu hadir jam 8.20 pagi dengan memakai kot hitam dan kemeja putih tersenyum dan sempat bertanyakan khabar kepada beberapa pengamal media di lobi mahkamah.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Wan Saiful akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Beliau telah dipanggil ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya berhubung siasatan kes itu.

Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan termasuk menerima rasuah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Mengikut pertuduhan, Wan Saiful didakwa meminta wang daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, April tahun lalu.

Dia juga juga didakwa menerima suapan RM6.9 juta menerusi akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat Nepturis Sdn Bhd.

Ia sebagai upah membantu syarikat terbabit mendapatkan surat setuju terima projek sama di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku, di sini, antara 8 Julai hingga 30 September 2022.

Turut menghadapi pertuduhan sama pada Rabu ialah Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.

Pertuduhan kes terhadapnya akan didengar di hadapan Hakim, Rozina Ayob.

Bagaimanapun maklumat lengkap mengenai kes itu belum diketahui.

Pada 21 Februari lalu, ahli perniagaan itu dituduh atas satu pertuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat.

Dia turut didakwa atas satu lagi pertuduhan menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Keesokan hari, dia didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas dua pertuduhan menerima rasuah masing-masing RM2 juta dan RM2.1 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Pada 28 Februari, dia dituduh atas pertuduhan kelima di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan meminta rasuah RM2 juta, tahun lalu. - Sinar Harian