JOHOR BAHRU: Seorang wanita berusia 50-an cedera di bahagian dagu akibat terkena libasan parang oleh seorang individu bertopeng dalam kejadian samun di Felda Air Tawar 4 di Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata kejadian berlaku kira-kira 12.40 tengah hari ketika wanita itu sedang tidur di sebuah bilik di rumah yang didiaminya seorang diri.

"Suspek bertopeng telah masuk ke dalam rumah dengan membawa sebilah parang dan cuba menekup mangsa hingga terjatuh ke lantai lalu berlaku pergelutan hingga suspek bertindak melibas parang dan terkena di bahagian dagu mangsa.

"Suspek sempat merentap seutas rantai tangan emas yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri. Mangsa mengalami kerugian lebih kurang RM3,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hussin wanita itu berada dalam keadaan stabil dan kes sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi pegawai penyiasat kes di talian 017-7183778 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di talian 07-8831222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA