TEXAS: Seorang wanita dari Texas, Amerika Syarikat berdepan hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh seorang wanita hamil berusia 21 tahun selain bertindak 'menculik' bayi yang dikandung mangsa.

Taylor Rene Parker disabitkan bersalah kerana membunuh Reagan Michelle Simmons-Hancock pada Oktober 2020 dan mengambil bayi dalam perut mangsa yang kemudiannya meninggal dunia. 

Memetik laporan Sky News, tertuduh yang berusia 29 tahun itu didapati memukul kepala wanita hamil itu sekurang-kurangnya lima kali sebelum membelah perut dan pinggul untuk mengeluarkan bayi berkenaan.

Keputusan jenayah dijatuhkan selepas tiga minggu proses pendengaran di Bowie County di timur laut Texas, dimana peguam Parker menolak pertuduhan penculikan dalam usaha untuk mengurangkan pertuduhan jenayah berat anak guamnya itu.

Peguam tertuduh berhujah bahawa bayi itu tidak pernah hidup sekali gus tidak boleh dianggap 'diculik' namun pendakwa raya memaklumkan pengamal perubatan yang hadir memberi keterangan memaklumkan bahawa bayi memiliki degupan jantung ketika dilahirkan.

"Kami telah membentangkan secara teratur apa yang dia (Parker) lakukan, mengapa dia melakukannya, semua bahagian yang bergerak dan segala kecederaan pada mayat," kata pendakwa raya Kelley Crisp.

Sementara itu, proses menentukan hukuman ke atas Parker ditetapkan bermula 12 Oktober ini.

Pendakwa raya menuntut hukuman mati tetapi pihak juri boleh memilih agar pesalah menjalani hukuman penjara seumur hidup tanpa parol.