KUANTAN: Seorang wanita mendakwa kerugian RM118,767.49 selepas terpedaya dengan sindiket tawaran kerja sambilan yang menjerat mangsa dengan menawarkan gaji tinggi secara dalam talian.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa yang berusia 22 tahun itu mendakwa ditawarkan pekerjaan oleh seorang wanita yang dikenalinya menerusi laman sosial Instagram pada 23 Julai lepas.

"Suspek dikatakan telah menawarkan mangsa untuk menyelesaikan satu tugasan dengan bayaran selain turut memberikan nombor telefon untuk dihubungi jika mangsa berjaya melakukan kerja itu.

"Mangsa yang menghubungi suspek kemudiannya ditawarkan pula tugasan melakukan tangkap layar barangan di pautan diberikan dengan dijanjikan keuntungan bagi setiap tangkap layar dibuat," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Yahaya berkata mangsa yang bekerja di sebuah institusi pendidikan di sini, tertarik dengan "kerja" itu kerana telah menerima upah RM47 selepas menyelesaikan dua tugasan, menyebabkan dia terus menghubungi suspek untuk mendapatkan tugasan selanjutnya.

Suspek didakwa mengarahkan mangsa untuk membuat bayaran terlebih dahulu, dengan dia akhirnya membuat 20 transaksi pemindahan wang ke 11 akaun yang diberikan.

"Mangsa yang menggunakan wang simpanan bagi membuat bayaran itu turut meminjam daripada bank dan rakan sebelum menyedari dirinya telah ditipu apabila menyedari jumlah wang yang telah dikeluarkannya," katanya.

Yahaya berkata mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan petang semalam.

Beliau juga menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja melalui media sosial terutamanya yang menawarkan gaji lumayan bagi kerja mudah serta membuat semakan latar belakang syarikat terlibat.

Orang awam juga dinasihatkan membuat semakan nombor akaun diterima menerusi https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat transaksi pemindahan wang bagi mengelakkan ditipu.

-- BERNAMA