ALOR SETAR: Seorang wanita yang bertugas di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di sini ditahan bagi membantu siasatan berhubung kemungkinan cuai sehingga menyebabkan seorang bayi lelaki berusia lapan bulan patah tulang lengan kiri.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian disedari ibu bayi terbabit selepas menjemput anaknya di pusat asuhan itu pada jam 5 petang Khamis lalu.

Ahmad Shukri berkata, ibu bapa bayi berkenaan bimbang selepas mendapati di bahagian atas lengan kiri anaknya kebiruan dan membengkak.

“Bayi lelaki itu kemudian dibawa ke sebuah hospital swasta dan memang terdapat kesan patah.

“Untuk pemeriksaan lanjut ibu bapa masing-masing berusia 35 tahun itu sekali lagi merujuk pemeriksaan kesihatan di Hospital Bahiyah (HSB) dan hasil pemeriksaan doktor mendapati bayi itu mengalami patah tulang di bahagian atas lengan kiri,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Susulan itu Ahmad Shukri berkata satu laporan polis dibuat bapa mangsa di Balai Polis Anak Bukit pada Sabtu.

Menurut beliau, seorang wanita berusia 20 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak Kanak 2001.