Seorang wanita maut, suami parah dan anak lelaki berusia 17 tahun cedera apabila kereta yang dinaiki mereka dirempuh sebuah MPV awal pagi tadi.

Insiden berlaku kira kira jam 1.25 pagi tadi di bulatan Kepong di ibu negara.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata mangsa sekeluarga di dalam kereta Perodua Axia dipercayai memasuki laluan bulatan dari pusat bandar.

Bagaimanapun sebuah kenderaan MPV Toyota Vellfire dinaiki empat lelaki tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar sisi kiri kenderaan itu.

Impak perlanggaran tersebut mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbabas dan memasuki kawasan tengah bulatan Kepong.

Vellfire terbabit terjunam ke dalam sungai namun keempat-empat pemandu dan penumpangnya terselamat.

Kereta Axia mangsa pula terbalik dan remuk teruk.

Seorang wanita yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan tersepit dan disahkan maut di lokasi kejadian.

Mangsa maut dikenali sebagai Haslina Ibrahim berusia 49 tahun.

Tiga buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Gombak dan Jinjang turut ke lokasi bagi membantu mengeluarkan mangsa.

Kesemua mereka dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Sampel darah dan urin pemandu Vellfire diambil untuk dianalisis Jabatan Kimia.

Polis sedang meneliti rakaman CCTV di sekitar lokasi kejadian.

Orang ramai yang menyaksikan insiden itu diminta tampil memberi maklumat di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.