HULU SELANGOR: Seorang wanita cedera parah manakala dua lagi rakannya mengalami cedera ringan selepas dihempap pokok ketika mandi di Air Terjun Batu Bertenggek di sini pada Khamis.

Mangsa dikenali sebagai Khairunnisa Mohd Khaiyazi, 24, Amirul Wahyudin Mohd Din, 24 dan Amirah Batrisyia Adam Khan, 21.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 11.59 pagi.

"Seramai lima anggota bomba dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ahmad Mukhlis berkata, kesemua mangsa dilaporkan tersepit selama 15 minit apabila pokok itu tumbang ke arah sungai dan menghempap mereka.

"Mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum anggota bomba tiba di lokasi," katanya.

Beliau berkata, Khairunnisa mengalami kecederaan di pergelangan kaki kanan, pinggang dan muka, Amirul Wahyudin cedera di bahu kanan, siku kanan serta belakang badan manakala Amirah Batrisyia pula cedera ringan di kaki kiri.

"Kesemua mangsa datang dari Shah Alam untuk mandi di lokasi kejadian," katanya.

Ahmad Mukhlis berkata, proses mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian masih berlangsung.

"Jarak dari tempat kejadian ke kawasan parkir ambulans dan jentera dianggarkan kira-kira satu kilometer," katanya. - Sinar Harian