SEREMBAN:
Seorang wanita bersama teman lelakinya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa atas pertuduhan mengabaikan anak kandung perempuan berusia tiga tahun sehingga mengakibatkan kematiannya bulan lalu.

Tertuduh, Noraini Haron, 42, dan Mohd Khairul Shamsua Israk, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat bersama sebagai seorang yang mempunyai mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan Nuraireen Afeeya Muhammad Padzli berusia tiga tahun telah mengabaikan kanak-kanak tersebut sehingga menyebabkan kematian.

Kesalahan itu dilakukan dari 18 Mac hingga 24 Mac 2024 antara jam lebih kurang jam 12 tengah hari hingga 6.45 petang di sebuah rumah di Taman Mayung di Port Dickson.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd Radzuan tidak menawarkan jaminan kerana menyifatkan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

Noraini yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana tidak bekerja dan mempunyai tiga anak anak termasuk mangsa.

Mohd Khairul pula memberitahu, dia hanya bekerja sebagai pembantu bengkel dan mempunyai enam orang anak serta menanggung ibu bapa.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh dengan syarat perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Sebutan semula kes untuk laporan forensik 2 Mei depan.

Sebelum ini media melaporkan polis menerima laporan daripada Hospital Port Dickson, Ahad lepas yang memaklumkan mangsa berada dalam keadaan kritikal akibat terjatuh daripada kenderaan.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 15 Mac kira-kira jam 8.30 malam ketika suspek yang dipercayai teman lelaki kepada ibu mangsa ingin membuka pintu van semasa berhenti di sebuah kedai, dalam perjalanan dari Taman Anggerik ke Taman Mayung, Telok Kemang.

Ekoran daripada kejadian tersebut, kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan lebam di beberapa bahagian anggota badan dan mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar. - Sinar Harian