MELAKA: Seorang wanita warga Thailand cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat tiga sebuah hotel bajet sebelum ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka dalam Op Gegar di Melaka Raya, petang semalam.

Pengarah JIM Melaka Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata wanita berusia 27 tahun itu ditahan sebaik tiba di bawah hotel berkenaan dalam serbuan kira-kira 6 petang.

Beliau berkata suspek itu merupakan antara 12 wanita warga asing yang ditahan terdiri daripada lapan warga Thailand, dua Indonesia dan masing-masing seorang Vietnam dan Laos, berusia 25 hingga 35 tahun.

"Kesemua wanita itu ditahan kerana disyaki menawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran sekitar RM250 hingga RM350 mengikut pakej yang disediakan selain melanggar syarat pas atau permit selain tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.

"Kegiatan tidak bermoral itu ditawarkan menerusi aplikasi WeChat dan operasi yang dijalankan adalah berdasarkan aduan orang awam dan risikan selama dua minggu dilakukan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak lima saman kepada saksi dikeluarkan terhadap pengurus hotel dan pelanggan untuk hadir ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Imigresen Melaka bagi membantu siasatan lanjut.

"Turut dirampas dalam serbuan itu ialah beberapa buku rekod pelanggan, kondom, pil pencegah hamil dan peralatan yang digunakan bagi tujuan seks," katanya.

Anirwan Fauzee berkata kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana telah melanggar syarat pas lawatan atau permit kerja dengan bekerja secara tidak sah.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik premis serta majikan yang menggajikan warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit kerja yang sah atau sengaja memberi perlindungan kepada warga asing yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

-- BERNAMA