Sebuah rakaman video yang memaparkan seorang wanita tua dipukul oleh beberapa orang gadis menjadi semakin viral di media sosial, sejak semalam.

Dalam video berdurasi 47 saat itu, wanita tua India itu dilihat sedang dibuli serta dipukul oleh gadis-gadis tersebut di kediaman mereka.

Malah, beberapa kata kesat dalam bahasa Tamil juga digunakan oleh pembuli dalam rakaman tersebut.

Susulan itu, rata-rata netizen di media sosial mendesak pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap gadis-gadis berkenaan.

Penderaan yang kejam terhadap warga emasMohon Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) siasat dan ambil tindakan sewajarnya

Posted by Friends of BN - Barisan Nasional on

Memetik laporan portal Malaysiakini, pihak polis berkata mereka difahamkan bahawa perkara itu dilakukan sebagai satu ‘gurauan’.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras Chong Kok Sin, semasa siasatan awal, mangsa menyatakan bahawa kejadian yang dirakamkan itu merupakan satu gurauan.

“Mereka merupakan rakan-rakan serumah dengan saya dan begitulah cara mereka bergurau dengan satu sama lain," kata Chong kepada Malaysiakini hari ini.

Kes penderaan seorang warga tua yang menjadi viral semalam sudah diambil tindakan oleh pihak polis. Hasil siasatan polis...

Posted by Friends of BN - Barisan Nasional on

Malah, mangsa berkenaan juga tidak mahu membesarkan isu ini dan berkata, beliau masih gembira untuk menetap bersama mereka.

Pihak polis juga mengesahkan bahawa tiada sebarang kecederaan pada wanita berkenaan.

Menerusi sebuah video, mangsa berkenaan memberi kenyataan bahawa rakan-rakan serumahnya hanya bergurau dan meminta orang ramai agar tidak membesarkan isu ini.

''Mereka cuma bergurau dengan saya, saya tidak menetap bersama anak-anak saya, mereka yang menjaga saya. Jadi tolong padamkan video tersebut. Mereka hanya bermain dengan saya,” kata mangsa dalam bahasa Tamil.

Walau bagaimanapun, netizen di media sosial tidak puas hati dan berpendapat bahawa mangsa mungkin diugut oleh pembuli untuk menyatakan semedikian.

Difahamkan, Ketua Pemuda MIC Bahagian Puchong, Subhash Chandra Bose memaklumkan Malaysiakini bahawa mereka juga telah melawat mangsa selepas menerima mesej dan panggilan daripada orang ramai.

Beliau juga telah mengarah Pemuda MIC di Cheras untuk sentiasa memerhati pergerakan mangsa di rumah tersebut.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, Pemuda MIC akan cuba untuk membantu beliau dari segi kewangan dan kesihatan.