MALAYSIA
Warden bekas tentera mula bertugas di MRSM tangani isu buli

Asyraf Wajdi berkata, pengambilan pesara anggota beruniform sebagai warden sepenuh masa, yang telah melalui tapisan ketat serta berpandukan garis panduan kerja yang jelas, dilihat sebagai pendekatan lebih praktikal. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memulakan pelaksanaan projek rintis penugasan warden dalam kalangan bekas anggota tentera di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Balik Pulau dan MRSM Besut, sebagai langkah menangani isu buli dalam kalangan pelajar.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif itu akan dijalankan selama enam bulan dengan matlamat memutuskan rantaian budaya buli yang membimbangkan di sekolah berasrama penuh.
“Selepas tempoh enam bulan, kajian menyeluruh mengenai keberkesanan langkah ini akan dibuat dengan kerjasama Institut Kajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM).
"Jika hasilnya positif, MARA akan memperluaskan pelaksanaan ke semua 57 MRSM di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Khamis.Beliau menjelaskan, langkah tersebut turut mengambil kira pandangan masyarakat termasuk guru yang berpendapat bahawa tugas warden tidak lagi sesuai digalas oleh tenaga pengajar secara sambilan, kerana bebanan kerja sedia ada sudah tinggi manakala elaun tambahan pula tidak setimpal dengan tanggungjawab besar di luar waktu akademik.
Sehubungan itu, katanya, pengambilan pesara anggota beruniform sebagai warden sepenuh masa, yang telah melalui tapisan ketat serta berpandukan garis panduan kerja yang jelas, dilihat sebagai pendekatan lebih praktikal.
“Aspek paling penting adalah memastikan gejala buli yang sudah lama berakar umbi dapat dibanteras secara tuntas, sekali gus memberi manfaat kepada kemenjadian pelajar MRSM,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami