Warga asing, pelarian tidak termasuk dalam program vaksin influenza - Exco

Setakat ini pelaksanaan program imunisasi influenza oleh KKM dikhususkan kepada petugas kesihatan serta warga emas berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu komorbiditi, tertakluk kepada ketersediaan stok vaksin. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Warga asing dan pelarian di Selangor tidak termasuk dalam kumpulan yang layak menerima vaksinasi di bawah program imunisasi influenza, sama ada yang dijalankan oleh kerajaan negeri atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah Jamaluddin, berkata setakat ini pelaksanaan program imunisasi influenza oleh KKM dikhususkan kepada petugas kesihatan serta warga emas berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu komorbiditi, tertakluk kepada ketersediaan stok vaksin.
"Bagi golongan masyarakat yang tidak termasuk dalam kumpulan ini, termasuk warga asing dan pelarian, mereka disarankan mendapatkan vaksin influenza di fasiliti kesihatan swasta yang menawarkannya," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan lisan Mohd Shafie Ngah (PN-Sungai Ramal) mengenai strategi kerajaan dalam program imunisasi awam bagi influenza khusus untuk kumpulan marginal seperti warga asing dan pelarian di Selangor.
Jamaliah berkata kerajaan negeri akan menilai keperluan untuk memperluas pelaksanaan Program Vaksinasi Influenza ke lima daerah lain, tertakluk kepada penilaian kesihatan semasa oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.
Beliau berkata sekiranya perluasan program dilakukan pada tahun hadapan, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada sekolah rendah terpilih di daerah yang belum diliputi pada tahun ini, dengan keutamaan kepada daerah yang mempunyai faktor-faktor tertentu.
"Antara faktor tersebut termasuk kadar insiden jangkitan influenza, kepadatan penduduk, dan ketersediaan fasiliti pemberian vaksin.
"Ia juga akan membabitkan golongan rentan dan berisiko tinggi, termasuk warga emas serta individu dengan penyakit kronik," katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Muhammad Izuan Ahmad Kasim (PH-Kota Damansara) mengenai perancangan memperluas program itu pada 2026 bagi meliputi semua daerah.
Pada 2 Nov lepas, Jamaliah dilaporkan berkata kerajaan negeri akan melancarkan program pemberian vaksin Influenza secara percuma bermula minggu depan di empat daerah yang mencatatkan kadar jangkitan tertinggi iaitu Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat.
Katanya program itu menyasarkan seramai 12,500 murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


