MALAYSIA
Warga ATM perlu elak muat naik kandungan tidak wajar di media sosial

Khaled berkata beliau percaya panglima-panglima ATM juga akan memaklumkan dan memberikan arahan kepada seluruh anggota mereka supaya berhati-hati dalam perkongsian di media sosial. - Gambar fail/Bernama
TAWAU: Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan supaya tidak memuat naik kandungan tidak wajar di media sosial termasuk berkaitan aset keselamatan bagi mengelakkan pihak yang mempunyai niat tidak baik mengetahui kekuatan pertahanan negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata beliau percaya panglima-panglima ATM juga akan memaklumkan dan memberikan arahan kepada seluruh anggota mereka supaya berhati-hati dalam perkongsian di media sosial bagi memastikan keselamatan negara tidak terjejas.
"Mungkin seperti dalam keghairahan anggota untuk tunjukkan latihan ataupun alatan yang kita ada atau tunjukkan di mana alatan itu disimpan dan sebagainya. Jadi, mereka yang mungkin ada niat tidak baik untuk negara tahu di mana kekuatan kita," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) Tawau 2025 di Kompleks Sukan Tawau di sini hari ini.Beliau berkata demikian bagi mengulas teguran Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam mengenai budaya penggunaan media sosial dalam kalangan anggota tentera dan mengingatkan mereka supaya tidak memuat naik semua perkara, khususnya maklumat berkaitan pasukan lokasi gerakan dan maklumat sensitif pasukan itu.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan melakukan pembelian aset keselamatan yang strategik pada setiap tahun dalam usaha memperhebat serta memperkukuh kawalan keselamatan negara.
Beliau menjelaskan perolehan aset yang dilakukan bukan seperti memberi barang 'di atas rak' tetapi melalui tempahan dan perlu mengikut kehendak serta spesifikasi perkhidmatan dalam ATM membabitkan darat, udara dan air supaya sesuai termasuk kemampuan pengendalian.
"Jadi, kita memang sudah beli 18 pesawat daripada Korea iaitu FA-50, selain tiga kapal jenis Littoral Mission Ship (LMS) dan meneruskan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) serta pembelian radar untuk memperkukuh pertahanan negara," katanya.
Mohamed Khaled berkata kementerian juga dalam proses menggantikan Pangkalan Tun Sharifah Rodziah yang tidak bergerak dengan pangkalan baharu bergerak yang lebih moden dan efisien yang lebih sesuai dengan keperluan operasi semasa pada tahun hadapan.
Berkaitan konflik yang berlaku di luar negara termasuk Ukraine, Gaza, Iran-Israel dan India-Pakistan, beliau berkata ia menjadi petunjuk negara perlu memberi perhatian kepada perolehan aset berasaskan teknologi semasa.
"Kita juga menyedari hakikat isu ketidaktentuan di Laut Cina Selatan yang masih lagi wujud dan berada pada tahap yang memerlukan kita memberi perhatian serius. Selain itu, kerajaan komited untuk memastikan keseimbangan penyediaan keselamatan antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami