Seorang lelaki warganegara Bangladesh maut manakala seorang rakan senegaranya cedera setelah dihempap dengan bahan konkrit di sebuah kilang bahan binaan di Mukim Jerang Batu, Pekan Nanas, dekat Pontian, hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nenas Hairulnizam Md Nor berkata kejadian berlaku pada pukul 11.50 pagi semasa dua lelaki warganegara Bangladesh itu yang berumur dalam lingkungan umur 35 hingga 40 tahun sedang bekerja.

"Setibanya bomba di tempat kejadian, lelaki pertama yang cedera telah dikeluarkan oleh pihak pekerja di kawasan itu, namun lelaki kedua yang maut di tempat kejadian terpaksa dikeluarkan dengan menggunakan bantuan kren," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata operasi yang berakhir pada 2.16 petang itu melibatkan lapan orang anggota dan sebuah jentera.

-- BERNAMA