BUKIT MERTAJAM: Seorang warganegara Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan kerja-kerja pemalsuan dokumen bagi tujuan permohonan pembaharuan pasport.

Kazi Monir, 35, didakwa memalsukan laporan polis, resit dan invois cukai Myeg Service Berhad, serta resit rasmi Jabatan Imigresen Malaysia bagi tujuan permohonan pembaharuan pasport dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Taman Usahaniaga, Bukit Mertajam, kira-kira 7.30 malam pada 8 Feb lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Shakila Dahari tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh memandangkan tahap keseriusan kes tersebut.

Peguam V. Pushpa memohon anak guamnya dibenarkan jaminan dengan jumlah yang minimum atas alasan bekerja di syarikat pengurup wang dengan pendapatan bulanan RM2,200 dan mempunyai tanggungan seorang isteri yang baru melahirkan anak semalam, serta perlu menanggung ibu bapa yang tua.

"Dia datang ke Malaysia 16 tahun lalu untuk bekerja sebagai tukang cuci dan ini merupakan pertuduhan pertamanya," katanya.

Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan menetapkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan dengan syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke balai polis terdekat dua minggu sekali.

Mahkamah menetapkan 22 Mac untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA