ALOR SETAR: Seorang lelaki warganegara China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Khamis atas pertuduhan menculik seorang wanita dari negara itu, bulan lalu.
Tertuduh, Wang Hao, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menculik Xiong Xi Qiao, 33, dengan niat supaya mangsa dikurung secara rahsia dan salah di sebuah rumah di Taman Amira, Jalan Langgar, di sini pada pukul 8.40 malam, 7 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman sehingga tujuh tahun penjara dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin dan Nasruna Anhar Nordien, sementara tertuduh diwakili peguam Mohd. Shakir Esrati.
Pihak pendakwaan memohon tiada jaminan ditawarkan disebabkan beberapa faktor termasuk tertuduh berisiko melarikan diri atau flight risk, namun peguam menyatakan kesediaan dua warga tempatan sebagai penjamin, jumlah jaminan tinggi dan melapor diri di balai polis terdekat.
Hakim Mazdi kemudian memutuskan tiada sebarang jaminan dibenarkan dan 11 Oktober ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.
Pada 8 Ogos lalu, dua suspek dipercayai warga asing maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis ketika operasi menyelamatkan dua mangsa culik di Taman Amira.
Kejadian berlaku apabila sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menyerbu sebuah rumah di kawasan perumahan itu bagi menyelamatkan kedua-dua mangsa.
Susulan itu, polis menahan enam individu terdiri seorang lelaki warga tempatan, empat lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing yang berusia antara 20-an hingga 40-an dalam serbuan berasingan di sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.