HULU LANGAT: Bilik tidur sempit bersaiz 20x15 kaki menjadi ruang bagi seorang warga emas di Kampung Dusun Nanding di sini untuk melelapkan mata setiap hari.
Ruslan Md Saman kini hidup sendirian dan serba kedaifan.
Tetapi tiada sekali pun warga emas ini mahu meminta belas simpati kerana selagi berkudrat dan kaki menghayun, dia cekal menghadapi hari tuanya.
Astro AWANI berkesempatan mengunjungi tempat tinggal Ruslan, yang menjadi bilik tidurnya sejak belasan tahun lalu yang terletak di belakang rumah peninggalan arwah ibu bapanya.
Rumah tersebut kini didiami oleh kakak ipar Ruslan dan abangnya yang berusia sekitar 80 tahun dan menghidap sakit tua serta berkerusi roda.
Dek kerana itu, Ruslan, 73, memilih untuk tidak menyusahkan ahli keluarganya.
Berkongsi mengenai kehidupannya, Ruslan berkata adik-beradiknya pernah mengajak tinggal bersama
tetapi dia lebih selesa tinggal sendirian.
Makan dan minum, kebanyakan dihulur oleh kakak iparnya.
Kadang-kala, dia berjalan ke 'kedai kopi' yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat tinggalnya.
"Saya okay tinggal di sini, tiada masalah. (Hari-hari) keluar merayau (ke kedai kopi), biasalah.
"... Kedai makan tak jauh, dekat sini saja. Sebelum ini tak ada dapat bantuan (sebab) tak mohon," katanya ketika ditemui pada Selasa.
Ketika usia muda, Ruslan yang tidak pernah mendirikan rumah tangga mencari rezeki dengan melakukan kerja-kerja kampung.
Pada 2014, anak kelima daripada sembilan beradik ini disahkan menghidapi kanser usus.
Bagaimanapun, selepas lima tahun menjalani rawatan, Ruslan pulih daripada penyakit itu.
Menurut anak saudara Ruslan, Haniza Hussain, 56, setiap minggu adiknya dan ahli keluarga yang lain datang menziarah bapa saudaranya ini.
Jelas pesara kakitangan bank itu, dia juga telah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban Ruslan.
"Dulu masa dia sihat dan kuat, semuanya dia buat sendiri. Tetapi bila dia dah beransur-ansur berumur, dia tak mampu buat perkara itu (pekerjaan).
"Saya dan adik beradik yang lain membantu setakat yang boleh. Tetapi kami tidak abaikan dia," kata Haniza.
Sementara itu, adik Ruslan, Abd Rahim Md Saman, 66, menambah sejak dari dulu lagi abangnya memang seorang yang berdikari.
"Semua memang dia buat sendiri... dari mula (usia muda) dia tak menyusahkan orang. Kerja pun memang dia kerja kampung," ujarnya.
Dapat perhatian ADUN
Dalam perkembangan sama, kehidupan Ruslan yang serba kekurangan turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz.
Johan yang sudah beberapa kali mengunjungi Ruslan berkata, pihaknya sedang menguruskan bantuan JKM dan membaik pulih tempat tinggal bagi memastikan kebajikan warga emas ini tidak terabai.
"Minggu lepas JKM pun dah datang tengok dan memang dia layak. Harap proses (bantuan) dapat disegerakan dan mungkin selepas ini akan mula proses bantuan bulanan untuk menyara Ruslan.
"Selain itu, saya sudah berbincang dengan keluarganya, kalau keadaan Ruslan tidak terurus pada masa akan datang, saya menawarkan beberapa tempat yang ada di Hulu Langat untuk kita bantu menempatkan dia di rumah orang-orang tua. Sekurang-kurangnya dia ada kawan dan tak sunyi.
"Ini kerana, abang Ruslan juga tidak sihat dan kakak iparnya perlu menguruskan suaminya," kata beliau.
Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh salurkan kepada akaun CIMB: 8603503892 (Kelab Kebudayaan dan Kesukanan Sri Nilam, Hulu Langat) atau hubungi Haniza di talian +6019-3508733.
Hasimi Muhamad
Wed Jan 17 2024
Ruslan tidur di sebuah bilik yang terletak di belakang rumah peninggalan arwah ibu bapanya sejak belasan tahun lalu - Foto Astro AWANI
Bursa Malaysia naik pada dagangan awal
Bursa Malaysia mencatatkan peningkatan semula pada dagangan awal, menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang positif.
Polis tahan empat lelaki disyaki terlibat kes samun, cubaan culik
Anggota unit D9 IPK Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai melakukan serbuan kira-kira pukul 10.50 pagi hingga 4.50 petang.
Ringgit naik kepada 4.68 berbanding dolar AS pada sesi pembukaan
Mohd Afzanizam berkata mata wang tempatan boleh berada pada paras RM4.67 hingga RM4.68.
Isu telaga jejari: Kerajaan Kelantan beri kerjasama penuh kepada SPRM
Mohamed Fadzli berkata Kerajaan Kelantan tidak akan menganggu proses penyiasatan yang sedang berjalan.
Pilihan raya AS: Biden, Trump setuju dengan dua Debat Presiden
Joe Biden dan Donald Trump setuju mengadakan dua Debat Presiden pada Jun dan September ini sebagai sebahagian daripada kempen pilihan raya.
Legasi Sudirman wajar diteruskan - Aznil
Sudirman mengubah pandangan masyarakat terhadap penggiat seni apabila menampilkan benchmark baharu - iaitu artis perlulah terpelajar.
Filem Lee Chong Wei satukan Tun M, Azmin
Kedua-duanya ketika itu mempunyai beberapa isu berkenaan darjah kebesaran Dr Mahathir ditarik balik dan gesaan Azmin dilantik menjadi PM.
Android akan tambah ciri kenal pasti kejadian ragut, kunci peranti
Menerusi kemas kini terbaharu, peranti Android akan dapat mengenal pasti telefon sekiranya diragut perompak dan mengunci akses.
UPM hasilkan gel tenaga dari kurma untuk ahli sukan dan aktiviti lasak
Pasukan penyelidik menghasilkan formulasi gel tenaga baharu menggabungkan bahan-bahan berkhasiat atau superfood dalam satu paket kecil.
Buku Syed Saddiq singkap ada gerakan cadang lantik Azmin Ali jadi PM pada 2018
Beliau yang pada ketika itu pegawai kepada Dr Mahathir cuba menjadi orang tengah untuk mendamaikan kedua-dua pemimpin tersebut.
Warga emas daif hidup sendirian
Ruslan Md Saman kini hidup sendirian dan dalam kedaifan di sebuah bilik tidur yang sempit di Kampung Dusun Nanding, Hulu Langat.