MELAKA TENGAH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka menahan seorang pengarah syarikat yang dipercayai memberi rasuah kepada beberapa penjawat awam di negeri ini sebagai dorongan memperoleh projek jabatan kerajaan bernilai RM639,104 sejak tiga tahun lalu.

Lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari tadi selepas diminta hadir ke pejabat SPRM Melaka di Alai, di sini bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, penahanan itu dibuat ekoran suspek dipercayai menyogok penjawat awam sehingga puluhan ribu ringgit bagi bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan.

“Suspek telah merasuah penjawat-penjawat awam di pelbagai jabatan kerajaan di negeri Melaka dengan membayar belasan malahan puluhan ribu ringgit.

“Wang rasuah itu bagi memastikan syarikat suspek memperoleh kerja-kerja pembekalan di jabatan-jabatan kerajaan berkenaan,”ujar sumber tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad mengesahkan penahanan suspek terbabit dan tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa penjawat awam pelbagai jabatan untuk memberi keterangan.

“Rantaian kartel rasuah sebegini perlu dinoktahkan bagi mengelak kerja-kerja monopoli projek pembekalan di jabatan kerajaan di negeri Melaka ini terus berlaku.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh esok bagi mendapatkan kebenaran permohonan reman.