Kerajaan tidak pernah menghalang warga emas dan kanak-kanak keluar ke tempat awam termasuk majlis kenduri dan pusat beli-belah.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tetap memberi nasihat untuk tidak menggalakkan kumpulan berisiko tinggi berkenaan ke lokasi terlibat agar kekal selamat dari dijangkiti COVID19.

"Tidak pernah ada larangan untuk warga emas umur lebih 60 tahun pergi ke tempat awam termasuk kompleks beli-belah. Kalau begitu saya pun tak boleh pergi, umur saya 60 tahun. Yang kita tekankan ialah tidak digalakkan.

Malah katanya, tiada larangan keluar ke tempat awam dikenakan ke atas warga emas dan kanak-kanak dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Seperti juga kanak-kanak, dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kita tak kata larangan kanak-kanak tempat awam dan larangan warga emas ke tempat awam. Yang kita kata sebab mereka berisiko tinggi, maka kita tak galakkan sebab kita nasihat supaya tidak digalakkan bawa anak dan warga emas ke kompleks beli belah," katany adalam sidang media di sini pada Jumaat.

"Jadi kita nasihat. Mereka boleh pergi ke mana-mana tempat awam, kenduri. Kita tak halang kita cuma nasihat sahaja," kata Ismail Sabri, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-60 Januari lalu.


Dalam sidang media yang sama, Ismail Sabri turut berkata kerajaan menasihatkan syarikat penerbangan untuk mengembalikan harga tiket ke paras normal seperti dilaksana sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.