IPOH: Lelaki warga emas dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari bangunan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira 2.30 petang.
"Hasil siasatan awal mendapati seorang pengawal keselamatan hospital mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berada di laluan tangga kecemasan.
"Pengawal keselamatan tersebut kemudiannya mengekori lelaki berkenaan sebelum mendapati mangsa telah terjatuh dari aras tiga bangunan berkenaan. Mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Kecemasan HRPB untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata mangsa dipercayai warga tempatan berusia lingkungan 60 hingga 70 tahun dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
Muhammad Najib berkata semasa dijumpai, mangsa memakai baju T-shirt lengan pendek berwarna merah serta seluar panjang berwarna hitam, dan mangsa yang masih menerima rawatan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat, mempunyai ahli keluarga yang dilaporkan hilang atau mengenali mangsa berdasarkan ciri-ciri tersebut supaya tampil membantu pihak polis mengenal pasti identiti mangsa
"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2542222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
-- BERNAMA