NATIONAL
Warga emas maut kemalangan dalam perjalanan ke masjid

Kereta Perodua Kancil yang dinaiki seorang lelaki remuk di bahagian depan selepas tidak sempat mengelak daripada merempuh motosikal dalam nahas di Jalan Jertih - Pasir Akar berdekatan Kampung Gong Duek di Besut, awal pagi Rabu. - Gambar Sinar Harian
JERTIH: Seorang lelaki warga emas maut akibat kemalangan melibatkan motosikal dan kereta di Kampung Gong Duek di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad@Abu berkata dalam kejadian pada 6.10 pagi itu, mangsa Ismail Jusoh, 70, yang dalam perjalanan ke masjid untuk solat Subuh mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian.
Beliau berkata mangsa yang menunggang motosikal Aveta dirempuh sebuah kereta Perodua Kancil ketika dalam perjalanan dari rumahnya ke Masjid Gong Duek.
"Siasatan awal mendapati, mangsa keluar dari simpang sebelah kiri untuk melintas jalan, manakala kereta Perodua Kancil dalam perjalanan dari arah Pekan Jertih ke Kampung Pasir Akar."Pemandu kereta berkenaan tidak sempat mengelak mangsa sebelum berlakunya rempuhan, menyebabkan Ismail mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu kereta itu dilaporkan cedera pada lengan kanan dan dirujuk ke Hospital Besut untuk rawatan, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami